Persiapan dari peringkat sekolah ke pusat pengajian tinggi untuk menjadi jurutera profesional di Malaysia

Hakcipta terpelihara 2017 Ir Sukhairul Nizam

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Yang saya muliakan Tuan/Puan Pengerusi Majlis, Yang saya hormati Encik Mohamad bin Mahfud Pengetua Sekolah Menengah Bukit Tinggi Klang, Yang saya segani Encik Leong Yoon Thoong YDP Pibg SMK Bukit Tinggi Klang, barisan guru-guru, AJK PIBG dan murid-murid yang saya sayangi sekalian.

Terlebih dahulu ingin saya panjatkan syukor ke hadrat ilahi kerana diberi kesempatan yang amat berharga pada pagi ini untuk berkongsi pada murid-murid dan hadirin sekalian akan kerjaya sebagai jurutera dan terima kasih kepada pihak sekolah serta PIBG yang menjemput saya untuk bagi perkongsian pada murid-murid sekalian. Sebelum saya meneruskan ucapan saya eloklah saya memperkenalkan diri saya dahulu. Nama saya Ingeneur “Ir” Sukhairul Nizam bin Abdul Razak  dan mempunyai anak di sekolah ini di dalam tingkatan 2. Baru-baru ini saya telah dilantik untuk menganggotai ahli jawatan kuasa PIBG sekolah ini dan besar harapan saya untuk berkongsi apa-apa yang perlu demi kebajikan warga sekolah sekalian. Saya berpengalaman dalam bidang kejuruteraan automotif atau mekanikal selama lebih 20 tahun. Bermula dari bahagian Proton Research & Development di Proton Holding hinggalah ke bahagian Customer Retention Division di Proton Edar. Kemahiran saya adalah untuk merekacipta komponen kereta yang diperbuat daripada plastik serta besi. Saya juga pakar dalam ujian aerodinamik, cat dan anti karat ” anti-corrosion” kereta serta ujian pelanggaran kereta atau “crash test”. Penglibatan saya di bahagian R&D bermula dari model kereta Proton Iswara sehinggalah kereta Proton Persona baru. Selepas itu saya berkhidmat di bahagian penjualan kereta dan khidmat lepas jualan yang berurusan terus dengan pelanggan. Itulah pengalaman saya bekerja dan aktiviti luar saya adalah seperti menjadi YDP Pibg Sekolah Menengah Methodist ACS Klang selama 3 tahun, YDP Pibg SRA Pandamaran selama 5 tahun dan AJK PIBG di Sekolah Menengah Batu Unjur serta AJK PIBG di Sekolah Rendah Bukit Tinggi Klang. Saya juga aktif dalam The Institution of Engineers Malaysia (IEM) dan berjawatan sebagai Committee Engineering Education Technical Division. Di masa ini saya menjalankan perniagaan sendiri termasuk menjalankan aktiviti latihan di West Port Malaysia dan sebelum ini di Mercedes Benz Malaysia.

Apa itu jurutera? Jurutera adalah satu kerjaya profesional dalam bidang kejuruteraan yang berhubung kait dengan aplikasi sains, teknologi dan matematik dalam kehidupan seharian untuk mengatasi sesuatu masalah. Bagi mengatasi masalah tersebut jurutera merekacipta pelbagai jenis benda merangkumi alat, mesin, bangunan, struktur serta sistem yang mana ianya mengambil kira faktor-faktor keselamatan dan kos. Kalau kita lihat di sekeliling kita sekarang contohnya bangunan sekolah, kereta, mikrofon, kuasa elektrik, telefon dan lain-lain adalah hasil dari ciptaan jurutera. Tanpa ada jurutera sudah pasti manusia akan hidup dalam kedaifan.

Dari bila wujudnya jurutera ini?

Kita sering sangkakan hidup seribu tahun lalu seperti sukar dan gelap tetapi itu tidak benar. Walau bagaimanapun bagi sesetengah orang, tahun 600-1600 adalah zaman kegemilangan tamadun kerana masyarakat telah bertambah maju melalui inovasi, pendidikan dan kreativiti, semuanya disokong oleh eksperimen daripada saintifik yang tegar. Dan yang paling menakjubkan sekali ianya diasaskan oleh orang-orang Islam terdahulu. Nabi Muhammad SAW wafat pada tahun 632 dan pada tahun 644 sebuah kincir angin yang menjanakuasakan kilang batu telah dibina di Wilayah Parsi Sistan. Pada tahun 722, Jabir Ibn Hayyan dilahirkan di Iran dan menjadi bapa kimia. Pada tahun 780,ahli Matematik al-Khawarizmi dilahirkan dan menyumbang kepada algebra, algorithma dan penggunaan sifar dan seterusnya penghasilan produk-produk dari jurutera Islam terus berkembang hinggalah ke hari ini. Yang paling menakjubkan adalah bermula dari orang Islam dahulu lalu diikuti oleh orang bukan Islam. Anda tahu tak siapa yang mencipta kapal terbang pertama? Ianya adalah jurutera Islam iaitu Abbas ibn Firnas yang mencipta pesawat pada tahun 852. Pada tahun 1206 contohnya jurutera Islam Al-Jazari membuat jam mekanikal serta peranti untuk menaikkan air menggunakan aci engkol dan banyak lagilah penemuan kejuruteraan dari jurutera Islam masa kegemilangan tamadun Islam. Seharusnya kita juga bangga kerana sekarang pun produk kereta nasional juga adalah hasil dari rekacipta jurutera Islam jugalah.

Cabang kejuruteraan tradisional terbahagi kepada empat:

  1. Kejuruteraan Sivil
  2. Kejuruteraan Elektrikal
  3. Kejuruteraan Mekanikal
  4. Kejuruteraan Kimia

Pada masa ini ada 50 cabang kejuruteraan yang mana di Malaysia ianya dikawalselia oleh Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia). Sebagai jurutera, seseorang itu hendaklah memastikan tugas beliau adalah untuk memastikan orang awam sentiasa dalam keadaan sihat, selamat dan berkebajikan.

Sehingga 25hb March 2017,di Malaysia ada seramai 90,002 jurutera berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan di mana 11,449 jurutera bertaraf jurutera profesional.

Bagaimanakah untuk menjadi jurutera profesional atau Ir?

Katalah sekiranya anda telah lulus dengan ijazah sarjana muda kejuruteraan, maka anda akan dapat kerja sebagai jurutera. Dalam tempoh 6 bulan dari tarikh diterima kerja, anda hendaklah mendaftarkan diri dengan Lembaga Jurutera Malaysia sebagai jurutera graduate. Selama 3 tahun anda bekerja sebagai jurutera, anda layak untuk menduduki peperiksaan sebagai jurutera profesional atau Ir. Peperiksaan ini diadakan oleh Lembaga Jurutera Malaysia bersama The Institution of Engineers Malaysia (IEM). Ada syarat-syarat yang diperlukan untuk lulus di mana ujian meliputi soalan oral dan juga soalan esei. Selepas anda lulus sebagai Ir barulah anda sekali lagi dikehendaki untuk menduduki ujian PCE (professional competency exam) dan sekiranya lulus anda akan diiktiraf sebagai Ir dengan sijil amalan. Barulah anda layak untuk submit drawing atau chop lukisan untuk diserahkan pada badan tertentu.Untuk ujian tahap pertama tadi, anda boleh meletakkan pangkat Ir pada depan nama anda tapi masih lagi belum boleh gunakan untuk submit drawing sehinggalah anda lulus ujian PCE tahap kedua. Semua projek-projek besar seperti membuat bangunan, jambatan, mesin mekanikal memerlukan kelulusan atau chop dari Ir yang layak tadi. Kebanyakkan Ir yang ada mempunyai syarikat perunding mereka sendiri. Untuk chop drawing hanya chop tersebut laku pada bidang yang Ir tersebut pakar.

Perjalanan hidup saya bermula pada tingkatan tiga di mana selepas lulus dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) saya masuk ke kelas jurusan sains. Subjek yang saya minat masa itu adalah Fizik dan Matematik Tambahan. Selepas saya lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya ditawarkan terus masuk ke UTM untuk kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautical). Masa itu, hanya kursus di UTM yang menawarkan pelajar terus ke tahun pertama tanpa perlu mengambil matrikulasi atau mengambil STPM. Pengajian dalam masa 5 tahun dan selepas itu Proton datang ke UTM dan menemuduga saya untuk bekerja di bahagian Proton R&D. Di R&D saya berkhidmat sebagai jurutera rekabentuk bahagian badan kereta di mana saya merekacipta bumper, body kit dan spoiler serta pakar dalam aerodinamik, antikarat serta ujian pelanggaran kereta.Dalam masa 4 tahun saya bekerja di Proton R&D, saya sempat mengambil ujian jurutera profesional dan selepas saya berpindah ke Proton Edar saya juga lulus ujian Master in Business Admin dari Charles Sturt University Australia. Di masa ini saya mengambil PhD dalam perniagaan dengan Open University. Di Proton Edar saya berkhidmat di bahagian jualan dan lepas jualan di mana tugas saya membimbing pekerja-pekerja saya menguruskan sebarang isu yang melibatkan kepuasan pelanggan. Saya berhenti dari Proton Edar pada tahun 2013 dan sehingga sekarang saya menjalankan perniagaan insuran, penjualan kereta dan juga sebagai trainer atau coach. Projek saya sekarang adalah dengan West Port Pelabuhan Klang mengajar supervisor dan technician untuk modul-modul yang berkaitan dengan pengurusan, SOP serta ICC. Tahun lepas sehingga Januari tahun ini (2017) saya di Mercedes Benz Malaysia sebagai coach atau trainer mengajar pekerja Mercedes dalam proses penjualan kereta dan khidmat pelanggan.

Sebagai pelajar tingkatan menengah anda tahukah bagaimana hendak lulus dalam akademik untuk dapat jadi jurutera?

Di tingkatan 3 saat paling penting di mana ujian PT3 anda kena pastikan keputusan adalah seperti berikut. Ini contoh diambil pada tahun 2016 di mana PT3 berlaku pada tahun 2015. Syarat ini anda kena periksa di mana murid-murid bersekolah kerana ianya juga bergantung pada budibicara pihak KPM.

Syarat untuk memasuki aliran sains tingkatan 4 tahun 2016:

Mendapat sekurang-kurangnya Gred B dalam mata pelajaran Sains dan Matematik

Gabungan keputusan A/B, B/B, C/C di dalam mata pelajaran Sains dan Matematik

Mendapat sekurang-kurangnya Band 4 dalam pentaksiran.

Kes khas

Mendapat gabungan keputusan A/D, B/D, C/D dalam Matematik dan Sains serta berminat hendak jadi pelajar aliran sains.

Murid yang mendapat gred E tidak digalakkan.

Syarat untuk memasuki universiti untuk kursus diploma kejuruteraan contohnya di UTM pada tahun 2017:

Diploma Kejuruteraan Mekanikal / Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik)

  • Memenuhi SYARAT AM UNIVERSITI dan mendapat kepujian (GRED C) dalam mata pelajaran :
    • Mathematics
    • Physics
    • Additional Mathematics
  • Dan Salah SATU (1) dari mata pelajaran seperti berikut :
    • Kimia
    • Lukisan Kejuruteraan
    • Teknologi Kejuruteraan
    • Pengajian Kejuruteraan Mekanikal
    • Amalan Bengkel Mekanikal
    • Penyejukan atau Penyamanan Udara
    • Automotif Kenderaan
    • Kimpalan Arka atau Kimpalan Gas
    • Additional Science atau Science atau Biologi
    • Reka Cipta
    • Sejarah atau Geografi
  • Kepujian Gred (C) di dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat SPM/setarafnya.
  • Tidak rabun warna dan tidak cacat anggota yang menyukarkan kerja amali

Setelah anda berjaya memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal atau Kejuruteraan Aeronautik, anda pasti hendak jadi jurutera. Kursus diploma tadi belum lagi melayakkan anda untuk jadi jurutera. Anda seharusnya mengikuti kursus ijazah sarjana muda kejuruteraan Mekanikal atau Aeronautik. Di bawah adalah kelayakkan yang perlu sekiranya anda ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan.

LULUSAN STPM/SETARAF

  • Lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/ Bahasa Melayu dan Matematik.
  • Lulus STPM/setaraf dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00 dan mendapat sekurang-kurangnya:
  • – Gred C (NGMP 2.00) dalam mata pelajaran Pengajian Am dan Gred C (NGMP 2.00) dalam 2 mata pelajaran lain
  • Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 2 (Band 2) dalam Malaysia University English Test (MUET) dan
  • Memenuhi syarat khas program.

LULUSAN MATRIKULASI/ASASI/SETARAF

  • Lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu dan Matematik;
  • Lulus Sijil Matrikulasi/Asasi/setaraf dengan mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.00
  • Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 2 (Band 2) dalam Malaysia University English Test (MUET) dan memenuhi syarat khas program

LULUSAN DIPLOMA/SETARAF

  • Lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu dan Matematik
  • Memiliki kelulusan Diploma atau kelulusan lain yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia dan Senat Universiti dengan mendapat PNGK yang baik dan berkaitan dengan program yang dipohon.
  • Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 2 (Band 2) dalam Malaysia University English Test (MUET) dan memenuhi syarat khas program.

LULUSAN STAM

  • Lulus SPM/setaraf dengan mendapat kepujian Gred C dalam matapelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu dan Matematik.
  • Mendapat sekurang-kurangnya Pangkat Jayyid dalam peperiksaan STAM
  • Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 2 (Band 2) dalam Malaysia University English Test (MUET) dan memenuhi syarat khas program.

Setakat ini sahaja perkongsian yang dapat saya berikan dalam tempoh 30 minit ini. Dan sekiranya diberi peluang dari sekolah, insha Allah saya akan dapat berkongsi lagi maklumat yang terperinci tentang sektor kejuruteraan yang saya tempohi selama lebih 20 tahun. Semoga perkongsian saya hari ini membantu anda sekalian untuk berjaya sebagai jurutera.

Sebarang pertanyaan boleh WhatsApp saya atau email di irsukhai@yahoo.com

What’s Up or WhatsApp.. kalau WhatsApp ni nombor saya, 012-2515093 atau klik pautan ini sekarang http://www.wasap.my/60122515093

 

 

 

 

 

 

 

 

8 thoughts on “Persiapan dari peringkat sekolah ke pusat pengajian tinggi untuk menjadi jurutera profesional di Malaysia”

  1. assalamualikum, nak tanya.klau saya dpt course mekanikal automotif. adakah saya layak mendapat gelaran ir atau saya perlu menukar course pengajian saya ke pure mekanikal dahulu? mohon penjelasan

    1. Waalaikumsalam. Maaf baru baca blog ini dan lama tak update. Kalau ambil mekanikal automotif masa daftar dengan BEM daftar sebagai mechanical engineering lagi mudah. Kalau nak daftar sebagai automotif boleh tapi bila nak ambil Ir nanti kena dapatkan mentor yang automotif juga. Tapi kalau mechanical ada ramai Ir yang ada mekanikal. Boleh dapatkan nombor hp untuk saya update yang lebih detail nanti. Tq

    2. Waalaikumsalam. Kursus automotif adalah dalam cabang mekanikal. Nanti bolehlah daftar sebagai graduate in mechanical untuk dapat Ir dalam mekanikal . Kalau daftar sebagai automotif, kena dapatkan mentor Ir dalam automotif juga. Nombor hp saya 0122515093. Terima kasih.

  2. Assalamualaikum tuan.. bagaimana kita nak mohon untuk jadi Professional Engineer jika kita ambil kursus dalam ijazah sarjana muda teknologi kejuruteraan mekanikal?

    1. Walaikumsalam. Kalau ambil jurusan teknologi akan jadi profesional teknologi lah nanti. Tapi kalau ambil engineering akan jadi Ir lah. Kena upgradelah nanti ke bidang kejuruteraan. Boleh rujuk pada lembaga jurutera malaysia bila dah graduate. Nombor hp saya 0122515093. Terima kasih.

Leave a Reply to zul Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *