Sumbangan jurutera di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru di peringkat sekolah

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Semalam adalah hari terakhir saya menjadi Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Methodist ACS Klang yang merupakan sekolah ketiga tertua di Malaysia dan tertua di Selangor. Selama tiga tahun saya memegang jawatan sebagai YDP PIBG dan banyak sumbangan yang telah saya berikan pada pihak sekolah. Sebelum saya mengakhirkan tugas saya sebagai YDP Pibg saya telah menghantar permohonan wang kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak satu juta ringgit Malaysia untuk membina dewan serbaguna dan membaik pulih pasarana sekolah serta menyediakan tambahan bangunan untuk kelas kemahiran. Berikut adalah ucapan akhir saya semalam sebelum saya menyerahkan tugas saya kepada orang lain.

Ucapan yang dipertua PIBG SMK Methodist ACS Klang 2016/2017

Bismilla hirrahma nirahim. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Yang saya muliakan Puan Pengerusi Majlis, Yang dihormatii En Chay Kin Siong, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist ACS Klang, Yang berusaha Naib YDP Pibg En Vijaya Kumar, Yang dihormati juga kepada En Mohd Nasir bin Singoh Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Samsuddin bin Samion Penolong Hal Ehwal Murid, En R.N Nathan Penolong Kanan Kokurikulum, En Saidin bin Ahmad Penolong Kanan petang, Yang disanjungi Encik Samuel Steven Solomon Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Encik Lim Kim Long presiden kelab Old Boys Associations, barisan AJK PIBG, guru-guru, ibu bapa dan hadirin sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang mulia ini sempena Mesyuarat Agung PIBG SMK Methodist ACS Klang kali ke 42 bagi tahun 2017. Pertama sekali, saya merakamkan ucapan syabas dan terima kasih atas kehadiran tuan/puan, para ibu bapa yang menggambarkan kesungguhan dan komitmen kita dalam meningkatkan kecemerlangan anak-anak kita pada masa hadapan. Pada pagi ini saya ada lapan perkara untuk dikongsikan bersama hadirin sekalian.

Pertama, saya ingin menyentuh tentang kehadiran ibu bapa dalam mesyuarat agung PIBG ini di mana sambutan ibu bapa amatlah mendukacitakan. Bilangan murid di sekolah ini lebih 1100 orang tapi ibu bapa yang hadir hanyalah 45 orang dan dicampurkan dengan bilangan guru lebih kurang 80 orang. Bayangkan hanya lebih kurang tujuh peratus ahli PIBG yang hadir termasuklah AJK PIBG. Walaupun saya tiada anak bersekolah di sini tapi saya bersemangat untuk menghadiri mesyuarat agung ini bagi memastikan pendidikan anak-anak kita semua terpelihara. Di manakah tanggungjawab ibu bapa yang lain? Adakah mereka hanya bermain Facebook atau WhatsApp sahaja?

Kedua berkenaan dengan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) amatlah membimbangkan. Semalam saya mengadakan ceramah kerjaya di sebuah sekolah di Klang di mana di ceramah tersebut ada seramai 350 orang pelajar dari tingkatan 3,4 dan 5. Sebelum saya menyampaikan ceramah saya ada bertanya kepada mereka berapa ramai yang ingin menjadi jurutera. Bayangkan dalam 350 orang tersebut hanya 3 orang yang angkat tangan. Yang lain bila saya tanya mereka hendak jadi peguam, akauntan, cikgu, pegawai bomba dan lain-lain kecuali jurutera. Saya selepas itu berborak dengan pengetua sekolah terbabit dan bertanya kenapa ramai yang tidak hendak jadi jurutera? Pengetua tersebut juga lepasan pelajar kejuruteraan UTM dan beliau nyatakan yang pelajar zaman sekarang ini tidak hendak bersusah payah jadi jurutera. Mereka hendak ikut jalan mudah dan contohnya ada pelajar yang ingin kaya cepat menerusi permainan video games yang menawarkan hadiah lumayan tanpa perlu susah-susah belajar jadi jurutera. Di pihak sekolah pula, cikgu yang mengajar subjek kejuruteraan menghadapi masalah menyediakan alat pembelajaran seperti perisian Autocad di mana perisian tersebut bernilai puluhan ribu. Sekiranya cikgu terbabit menggunakan perisian tidak tulen yang hanya bernilai RM14 maka sekolah terbabit akan disaman. Lagipun perisian tidak tulen tersebut program di dalamnya tidak cukup dan banyak yang cacat. Oleh itu sekolah perlukan bantuan dari pihak luar bagi melengkapkan peralatan yang perlu untuk mendidik anak-anak menjadi jurutera dari peringkat sekolah lagi. Di daerah Klang hanya ada 6 buah sekolah yang mengajar subjek kejuruteraan pada peringkat sekolah menengah.

Ketiga, bidang kerjaya di Malaysia sekarang amatlah membimbangkan. Ada lebih seramai 500,000 ribu orang yang menganggur tiada kerja akibat banyak syarikat yang ditutup akibat kegawatan ekonomi. Syarikat-syarikat seperti Petronas, KTMB, MAS, vendor-vendor syarikat automotif, Tesco dan lain-lain mengalami krisis ekonomi yang mana mereka terpaksa mengurangkan kos operasi di mana syarikat-syarikat tersebut terpaksa merombak operasi mereka seperti mengurangkan pengambilan pekerja atau membuang mereka. Nasihat saya pada graduan terbabit atau yang dibuang dari sektor pekerjaan untuk tidak memilih kerja. Ambil sahaja kerja apa yang ada dan sikit-sikit meningkat dan sekiranya boleh menceburi diri dalam bidang keusahawanan atau perniagaan termasuklah pertanian atau perladangan. Pihak kerajaan dan swasta pula seharusnya menyediakan kursus-kursus pendidikan yang sesuai pada permintaan di luar sana bukan main jalankan sahaja kursus yang tidak diperlukan sekarang.

Keempat, ibu bapa juga haruslah menyelidiki aktiviti yang anak-anak kita buat di rumah dan di luar rumah agar tidak mudah terjebak dengan anasir-anasir negatif yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka. Budaya negatif seperti mengambil minuman keras, menghisap rokok, berjudi, seks bebas dan sebagainya haruslah dielakkan. Peranan ibu bapa ini amat penting kerana zaman dunia tanpa sempadan ini apa-apa senang berlaku pada anak-anak kita.

Kelima, majikan hendaklah sama-sama turun padang bersama pihak sekolah dan ibu bapa lihat sendiri masalah yang ada di sekolah yang mana bantuan mereka amatlah diperlukan. Contohnya memberikan kelonggaran masa untuk pekerja mereka bagi menghadiri mesyuarat ajk pibg atau aktiviti sekolah yang mana tanpa bantuan majikan tersebut sekolah tidak boleh jalankan aktiviti PIBG terbabit akibat kekurangan ahli. Majikan juga boleh salurkan bantuan yang sekolah perlukan mengikut kemampuan majikan tersebut.

Keenam adalah semangat untuk tidak berputus asa dan berfikiran positif. Jauhkan dari berfikiran negatif kerana ianya tidak dapat membantu kita untuk bergerak dengan lebih jauh.

Ketujuh pula adalah sentiasa sedar yang kita dulupun bermula dari bawah dan kita juga dulu adalah murid juga. Bila sudah berpangkat tinggi dan bergaji besar jangan lupa asal usul kita. Kembalilah semula ke sekolah dan taburkan khidmat bakti dengan ikhlas.

Akhir sekali kelapan adalah kemajuan negara terletak pada Kebijaksanaan Adalah Kuasa sebagaimana motto Sekolah Menengah Methodist ACS Klang ini di mana dengan adanya kebijaksanaan dalam diri kita maka kita satu hari nanti dapat menilai mana yang baik dan buruk untuk kita jadikan pilihan yang betul.

Hadirin dan hadirat sekalian.

Alhamdullilah. Masa terus berlalu dan tanpa kita sedar tahun ini, sekolah ini telah mencecah usia 124 tahun. Walaupun begitu, banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak sekolah cipta sama ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum. Kejayaan dan kecemerlangan ini menggambarkan kejayaan usaha guru-guru di sekolah kita yang tidak pernah putus asa dalam mendidik anak-anak ktia. Kejayaan ini juga menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini yang diberkati Allah SWT. Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG menyokong segala usaha pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Kerjasama antara ibu bapa dan guru-guru di sekolah merupakan tunjang penting bagi memastikan kejayaan anak-anak selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang terjalin antara ibu bapa dan guru-guru sedia ada. Persatuan ibu bapa dan guru akan sentiasa bersedia dalam memberikan sokongan moral dan material kepada pihak sekolah untuk melaksanakan apa-apa jua program yang dapat meningkatkan kemahiran murid-murid. Projek bantuan PIBG seperti menyediakan hawa dingin di dewan besar, dewan kuliah besar, bilik guru, kipas di kelas-kelas murid, bil-bil utiliti seperti elektrik, air, internet, projek pembuatan longkang sekeliling sekolah dan kantin, bilik makmal sains, bilik kaunseling, pagar sekolah, tempat berbumbung untuk pelajar menunggu bas sekolah dan banyak lagi yang mana projek-projek tersebut juga dijalankan bersama dengan Lembaga Pengelola sekolah, Old Boys Association dan juga pihak Adun. Alhamdullilah yang saya juga berjaya menghantar permohonan dana sebanyak satu juta ringgit dengan kerajaan negeri Selangor.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua pihak serta ucapan tahniah kepada AJK PIBG yang bakal dilantik sebentar lagi. Tunaikanlah amanah itu dengan rasa sukacita dan tanggungjawab demi kecemerlangan anak-anak kita bersama. Harapan saya semoga Mesyuarat Agung PIBG kali ke 42 ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur hingga ke penghujungnya.

Dengan lafaz Bismilahir Rahmanir Rahim saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Methodist ACS Klang kali ke 42. Sebelum mengundur diri, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun.

Bunga dedap di atas para,anak dusun pasang pelita, andai tersilap tutur bicara, jari disusun maaf dipinta.

Sekian terima kasih.Wabilahitaufikwalhidayah wassalamualaikumwarahmatullahi wabarakatuh

Hakcipta terpelihara 2017 Ir Sukhairul Nizam

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *