Assalamualaikum.
Kesedaran keselamatan jalan raya amat penting bagi orang awam kerana ia memberi impak langsung kepada kesejahteraan individu, keluarga, dan komuniti. Setiap hari, banyak nyawa terjejas akibat kemalangan jalan raya—sama ada melalui kecederaan peribadi, kehilangan nyawa, atau beban emosional dan kewangan yang ditanggung oleh mereka yang terlibat. Dengan meningkatkan kesedaran, kita dapat memupuk tanggungjawab bersama untuk lebih berhati-hati, prihatin, dan proaktif di jalan raya.
Apabila kita memahami risiko dan mengambil langkah-langkah mudah, seperti mematuhi had laju, memakai tali pinggang keledar, dan mengelakkan gangguan, kita dapat mengurangkan dengan ketara peluang berlakunya kemalangan. Ini bukan hanya tentang melindungi diri kita—ia juga mengenai memastikan keselamatan orang lain. Setiap pemandu, pejalan kaki, dan penunggang basikal memainkan peranan dalam menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua.
Keselamatan jalan raya memberi kesan yang lebih luas daripada akibat langsung kemalangan. Beban emosional terhadap mangsa, keluarga, dan komuniti boleh menjadi sangat mendalam, dan kos ekonomi—seperti penjagaan kesihatan, perbelanjaan undang-undang, dan kehilangan produktiviti—sangat besar.
Oleh itu, kesedaran keselamatan jalan raya bukan sekadar soal peribadi; ia adalah soal masyarakat. Ia menggalakkan empati, pemahaman, dan saling menjaga, di mana setiap tindakan individu menyumbang kepada matlamat bersama untuk mengurangkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa.
Akhirnya, ia bukan hanya tentang mematuhi undang-undang—ia mengenai mewujudkan budaya di mana keselamatan diutamakan, dan setiap nyawa dihargai.
Mari sertai bengkel fizikal pada 25 Januari 2025 yang akan dibentangkan oleh MIROS.
PASIR GUDANG: Keluarga pasangan suami isteri yang maut apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Mesjid, di sini, awal pagi semalam, mengharapkan keadilan untuk mangsa.
Nahas membabitkan motosikal jenis Honda Vario dengan kereta Perodua Alza itu menyebabkan Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan isterinya, Linda Mohd A Aziz, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, 56, berkata pasangan itu meninggalkan lima anak berusia 17, 15, 14, 12 dan tiga tahun.
Katanya, beliau begitu terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada anak kedua pasangan itu kira-kira jam 4 pagi untuk memaklumkan insiden menimpa Linda bersama Mohd Ridzwan yang juga anak kedua daripada tujuh beradik dan lebih mesra dipanggil ‘Abang Wan’.
“Saya menerima panggilan daripada telefon bimbit Abang Wan, rupa-rupanya dia tertinggal telefon di rumah pada hari itu. Anak Abang Wan, Muhammad Ikmal Danish, 15, memberitahu ada rakannya datang ke rumah memaklumkan bapa kemalangan.
“Muhammad Ikmal Danish meminta saya pergi melihat kemalangan itu yang berlaku berdekatan jalan ke Tasik. Saya kemudian mengajak suami ke sana dan menganggap anak mungkin hanya cedera.
“Namun setiba di lokasi, saya nampak lori polis… kaki saya terus lemah dan rebah. Saya seperti ternampak-nampak Abang Wan di situ. Saya memanggil namanya berulang kali sehingga ada seorang anak muda datang cuba menenangkan saya dan memberitahu bahawa anak sudah meninggal dunia dilanggar kereta dibawa pemandu dipercayai mabuk,” katanya ketika ditemui di kediaman di Flat Taman Cendana.
Ramlah berkata, beliau bertambah terkejut apabila dimaklumkan bahawa isteri arwah turut terkorban dalam kemalangan itu.
Kebiasaannya, beliau berkata, Mohd Ridzwan akan masuk kerja sebagai pemandu lori pada jam 4 pagi dengan keluar awal sejam untuk perjalanan ke Johor Bahru.
“Saya ingatkan hanya anak seorang kemalangan, dan tidak tahu isterinya juga terbabit. Saya tidak sanggup melihat mayat anak dan isterinya dalam kemalangan sangat menyayat hati itu.
“Kebetulan pada masa itu, anak sulung juga keluar awal pagi untuk bekerja dan memberitahu ada melihat kemalangan berkenaan tetapi tidak menyangka ia membabitkan adiknya.
“Saya sangat mengharapkan keadilan buat arwah anak dan menantu, dan pelakunya dikenakan hukuman setimpal. Saya kehilangan anak, manakala cucu pula menjadi yatim piatu.
“Saya akan menjaga kesemua anak arwah walaupun saya sendiri tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung pada suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61, yang bekerja sebagai pemandu ‘forklift’ di sebuah pasar raya,” katanya.